Majlis perkahwinan tidak akan menjadi tanpa kehadiran Mak Andam. Mak Andam atau juga dikenali sebagai Jurusolek merupakan sebahagian dari tunjang utama dalam memastikan agar sesebuah majlis perkahwinan berhasil dengan jayanya. Ini adalah kerana Mak Andam memainkan peranan untuk memastikan penampilan pengantin sempurna dan sesuai dengan majlis.
Pemilihan Mak Andam perlulah dilakukan seawal 6 bulan sebelum majlis. Lebih-lebih lagi jika inginkan Mak Andam tertentu dan yang sudah terkenal. Ini adalah kerana, kebiasaannya mereka telah ditempah lebih awal oleh bakal pengantin. Terutama sekali jika majlis dibuat pada musim cuti persekolahan. Jika tempahan dibuat di saat-saat akhir menjelang hari majlis, sudah pasti bakal pengantin akan mendapat Mak Andam yang kurang berkenan di hati.
Selain memerlukan waktu tempahan seawal 6 bulan, pemilihan Mak Andam juga perlu dibuat dengan teliti. Sila pastikan agar Mak Andam anda tidak menerima tempahan selain diri anda seorang pada tarikh majlis yang sama. Ini adalah kerana, terdapat ramai Mak Andam yang suka mengambil kesempatan dengan menerima tempahan pelanggan sehingga 4 orang dalam satu masa. Apabila ini berlaku, bakal pengantin juga yang menerima padahnya. Kerana apabila Mak Andam tergesa-gesa dan terkejar-kejar melaksanakan tugas, sudah pasti ada banyak perkara yang dibuat secara sambil lewa dan tidak teliti. Bukan sahaja anda tidak berpuas hati, malah sudah pasti penampilan anda tidak kena gaya.
Bersikap cerewet juga merupakan satu perkara yang baik. Namun, hendaklah cerewet itu kena pada tempatnya. Anda juga hendaklah mempunyai ilmu yang tinggi dalam memastikan kehendak anda dituruti.
Sebagai contoh, anda boleh bersikap cerewet terutama di dalam memilih warna solekan dan juga jenis hiasan sanggul mahupun cara pemakaian tudung. Nyatakan terus terang tentang apa yang anda suka dan apa yang anda tidak suka. Ini amat memudahkan Mak Andam untuk merealisasikan penampilan anda seperti yang dikehendaki. Bukan sahaja anda akan berpuas hati, malah Mak Andam juga pasti gembira apabila melihat anda gembira. Oleh itu, perbincangan yang telus perlu dibuat sepanjang masa.
Bagi menambah ilmu kecantikan di dada, anda perlulah banyakkan membaca dan melihat pelbagai contoh gambar samada di internet mahupun di majalah. Ia pastinya akan memudahkan perbincangan antara anda dan Mak Andam anda.
Bidang Andaman kini bukan sahaja dipelopori oleh kaum wanita, malah telah ramai kaum Adam yang menghiasi industri ini. Ramai yang menyangka hanya Mak Andam lelaki mampu memberikan hasil solekan terbaik.
Namun jika itu tanggapan anda, anda sudah melakukan kesilapan besar. Mak Andam wanita kini sememangnya mempunyai kualiti dan kreativiti yang sama hebat malah ada yang jauh lebih hebat dari Mak Andam lelaki.
Oleh itu, bagi anda yang sangat menitikberatkan berkenaan situasi dan status halal haram dalam perhubungan, usah mengeluh lagi kerana Mak Andam wanita tetap ada dan mampu memberikan sentuhan terbaik.
Anda cuma perlu rajin mencari dan membuat perbandingan agar pemilihan anda adalah tepat dan bertepatan dengan kehendak dan sudah semestinya budget anda. Pameran Pengantin
Ada juga yang bertanya kepada saya, Jurusolek/Mekap Artis atau Mak Andam? Apa bezanya? Mana yang lebih bagus?
OK, usah pening kepala memikirkan perkara remeh temeh seperti ini. Mak Andam dan Jurusolek/Mekap Artis hanyalah merupakan panggilan yang berbeza berdasarkan tugasan yang mereka lakukan.
Mak Andam kebiasaannya tidak melakukan tugasan solekan/Andaman selain solekan pengantin. Manakala Jurusolek/Mekap Artis pula lebih memberikan tumpuan kepada solekan di media massa dan lebih-lebih lagi untuk artis. Namun di zaman yang serba moden ini, Mak Andam mahupun mekap artis sudah memikul tanggungjawab yang sama.
Kesilapan besar yang perlu dielakkan semasa memilih Jurusolek/Mekap Artis atau Mak Andam. Pastikan anda tidak dimekapkan seperti Drag Queen. Perlu berhati-hati jika tidak mahu merosakkan hari bahagia anda seterusnya memalukan diri sendiri. Sebaiknya, cubalah melakukan test makeup/pre-wedding makeup dengan Mak Andam atau Jurusolek/Mekap Artis yang bakal menyolekkan anda.
Sumber : Home Family Site
© COPYRIGHT WARNINGS : Please take note, that all photography is copyrighted to Shutter Shooters Photography and the pictures and can only be used with strict permission from shutter shooters Photography. It is not allowed to download, to store, to copy, to reproduce, to use or to modify the images in any way, alone or in any other contact, without an advance written permission of Shutter Shooters Photography.
No comments:
Post a Comment