Pada zaman sekarang, ramai yang memandang tinggi terhadap hantaran berbanding mas kahwin. Apa tidaknya, ada yang seolah-olah menganggap hantaran itu wajib dan sekiranya ia tiada maka proses pernikahan tidak boleh dijalankan. Kekeliruan ini memang timbul. Mengikut hukum Islam, seorang lelaki yang mahu menikahi seorang perempuan wajib memberikan mas kahwin mengikut kadar kemampuannya dalam akad nikah. Manakala hantaran pula adalah berbentuk hadiah yang diharuskan dan kadarnya ditentukan oleh pihak perempuan.
Apa itu mas kahwin?
Mahar atau lebih dikenali sebagai mas kahwin merupakan pemberian wajib kepada isterinya. Sekiranya suami masih lagi berhutang mas kahwin, maka si isteri berhak menolaknya untuk bersama. Sekiranya mas kahwin diberikan kepada isteri, maka wang tersebut adalah hak sepenuhnya kepada wanita tersebut.
Apa itu hantaran?
Hantaran merupakan satu bentuk hadiah berupa wang tunai yang ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan. Pada zaman ini, kadarnya berbeza-beza sehingga ada yang meletakkan nilai mengikut kelulusan wanita tersebut. Jangan terkejut pada zaman sekarang nilai hantaran RM10 ribu pun dianggap rendah. Sekiranya hantaran tersebut diberikan kepada wanita itu, maka wang tersebut dianggap milik keluarganya. Keluarganya boleh mengambil wang tersebut untuk digunakan untuk menanggung kos majlis kenduri kahwin dan sebagainya.
Nilai ukur wang hantaran
Bagi pihak perempuan, janganlah terlalu meletakkan harga yang tinggi kepada bakal pasangan lelaki. Hantaran yang terlalu tinggi akan menyebabkan pihak lelaki akan berasa tertekan kerana asyik memikirkan tentang wang hantaran sahaja. Fikirkanlah, perkahwinan bukan sehari dua. Bayangkan jika pihak lelaki sanggup berhutang pinjaman untuk membayar wang hantaran, mungkin selepas lima tahun pinjaman masih lagi belum selesai. Terbeban bukan?
Jadikan wang hantaran sebagai aset
Bagaimana ya mahu menjadi wang hantaran itu sebagai satu bentuk aset? Memang agak rugi sekiranya wang hantaran yang diberikan sekitar RM10 ribu ke atas, dibelanjakan dalam sekelip mata sahaja. Adalah lebih baik sekiranya wang hantaran tersebut diberikan kepada pihak perempuan dan ia dijadikan sebagai wang muka pendahuluan dalam pembelian rumah. Ini adalah salah satu bentuk pelaburan yang tidak merugikan.
Mengapa perlu beli rumah?
Seperti yang kita tahu, harga rumah saban tahun kian meningkat terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Harga rumah teres kini semuanya atas ratusan ribu. Jadi adalah lebih baik jika wang tersebut digunakan untuk membeli rumah. Mungkin pada awalnya ia nampak merugikan, tetapi langkah itulah dapat menjamin sedikit masa depan pasangan. Ini kerana setidak-tidaknya, pasangan yang baru berkahwin sudah mempunyai satu aset yang sangat bernilai daripada menyewa aset.
Sumber : Pameran Pengantin Malaysia
© COPYRIGHT WARNINGS : Please take note, that all photography is copyrighted to Shutter Shooters Photography and the pictures and can only be used with strict permission from shutter shooters Photography. It is not allowed to download, to store, to copy, to reproduce, to use or to modify the images in any way, alone or in any other contact, without an advance written permission of Shutter Shooters Photography.
No comments:
Post a Comment